Soalan Lazim Pengakap Khas

Q: Siapakah ahli Pengakap Khas?
A: Pengakap Khas merujuk kepada ahli-ahli pengakap yang berkeperluan khas.

Q: Adakah Pengakap Khas khas untuk murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sahaja?
A: TIDAK. Pengakap Khas tidak semestinya murid PPKI sahaja. Seseorang ahli pengakap merupakan seorang ahli Pengakap Khas sekiranya beliau berkeperluan khas seperti yang disahkan pakar perubatan.

Q: Adakah Pengakap Khas merupakan unit yang berlainan?
A: TIDAK. Seseorang ahli Pengakap Khas adalah seorang ahli pengakap berkeperluan khas dan boleh merupakan seorang ahli dalam unit-unit berikut seperti ahli pengakap yang lain:
– Pengakap Lebah
– Pengakap Kanak-Kanak
– Pengakap Muda
– Pengakap Muda Laut
– Pengakap Muda Udara
– Pengakap Remaja
– Pengakap Remaja Laut
– Pengakap Remaja Udara
– Pengakap Kelana
– Pengakap Kelana Laut
– Pengakap Kelana Udara

Q: Adakah had umur untuk menyertai mana-mana unit pengakap?
A: YA. Menurut POR Persekutuan Pengakap Malaysia, had umur bagi setiap unit adalah seperti berikut:
– Pengakap Kanak-Kanak, sehingga genap umur 13 tahun (Perkara 227)
– Pengakap Muda, sehingga genap umur 16 tahun (Perkara 244)
– Pengakap Remaja, sehingga genap umur 18 tahun (Perkara 247N)
– Pengakap Kelana, sehingga genap umur 26 tahun (sepertimana yang telah dipersetujui Majlis EXCO Kebangsaan walaupun peruntukan dalam POR telah disimpan)

Q: Murid Berkeperluan Khas boleh menuntut di Sekolah Kebangsaan sehingga umur 14 tahun, adakah beliau memasuki Unit Pengakap Muda selepas umur 13 tahun?
A: Secara lazimnya, ahli Pengakap Khas tergolong dalam unit Pengakap Kanak-Kanak sekiranya beliau masih menuntut di peringkat sekolah rendah. Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perak dalam usaha mengusulkan di peringkat Kebangsaan peruntukan khas mengenai Pengakap Khas.