Pengakap Khas

Pergerakan Pengakap merupakan suatu pergerakan sedunia yang membina jati diri melalui pendidikan informal. Persekutuan Pengakap Malaysia mempunyai ahli di pelbagai unit pengakap yang mengikut peringkat umur, iaitu, Pengakap Lebah, Pengakap Kanak-Kanak, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, dan Pengakap Kelana.

Pengakap Khas bukanlah merupakan suatu unit yang bergerak sendiri tetapi merujuk kepada ahli-ahli berkeperluan khas dan mereka boleh menyertai mana-mana unit pengakap mengikut peringkat umurnya. Bagi itu, ahli Pengakap Khas merangkumi murid-murid berkeperluan khas (MBK) yang menuntut di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI) tetapi tidak terhad kepada murid PPKI dan PPI sahaja.

Persekutuan Pengakap Malaysia khususnya PPM Negeri Perak amat mengambil berat tentang keperluan ahli yang berkeperluan khas dan mengambil pendekatan yang inklusif dan layanan sama rata seperti ahli-ahli pengakap yang lain. PPM Negeri Perak juga sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan sebarang pengubahsuaian yang tidak lari daripada matlamat sekiranya perlu untuk membantu ahli-ahli Pengakap Khas mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka sebagai seorang Pengakap.